Thursday, July 18, 2013

KISAH DISEBALIK MAKAM DAYANG ESAH DI KAMPUNG PUSA

 
Pada zaman dahulu sebelum kedatangan Rajah Brooke, 
ada sebuah daerah di Negeri Sarawak bernama Saribas.
Daerah tersebut dikatakan terletak di bawah kekuasaan 
Sultan Brunei.Sultan Brunei menghantar wakilnya untuk 
memerintah daerah-daerah yang jauh dari Brunei.Bagi 
daerah Saribas,Sultan Brunei menghantar seorang 
wakilnya iaitu Datuk Temenggong Kadir.Datuk Kadir dan 
isterinya pun tinggallah di Saribas.Pusat pemerintahannya 
terletak di sebuah tempat bernama Tandang Sari (sekarang 
tempat ini bernama Pusa).



Datuk Temenggong menjalankan pemerintahannya dengan 
adil dan saksama.Dia dikasihi oleh rakyat Saribas.
Datuk Temenggong Kadir telah lama berkahwin.Isterinya, 
bernama Dayang Siti Hajar.Tetapi perkahwinan mereka selama 
tujuh tahun itu belum lagi dikurniakan seorang anak.
Datuk Temenggong Kadir dan isterinya,selalu berdoa agar 
mereka dikurniakan cahaya mata.Walaupun mereka hidup bahagia 
tetapi mereka selalu merasa kesunyian kerana tidak 
mempunyai anak.



Pada suatu malam,seperti biasa selepas sembahyang dan
berdoa,Datuk Temenggong Kadir pun tidur.Dalam tidurnya 
itu, dia telah bermimpi,dia telah mendengar satu suara. 
Datuk Temenggong Kadir tidak tahu dari mana arah suara 
itu datang.Suara itu berkata:“Wahai Temenggong Kadir, 
aku kasihan melihat kamu berdoa.Kamu kesunyian.Aku ingin 
menolong kamu berdua.Ikutlah apa yang aku katakan ini! 
Esok kamu pergilah ke hulu Sungai Tandang Sari. Di sana 
ada serumpun buluh betong.Potonglah buluh betong itu. 
Di dalamnya ada sebiji telur.Ambil telur itu dan simpanlah     
baik-baik”.


Selepas mendengar suara itu Datuk Temenggong Kadir pun
terjaga dari tidurnya.Dia tidak dapat melelapkan matanya 
lagi kerana memikirkan arahan dari suara itu.Dia tertanya-
tanya benarkah apa yang dikatakan oleh suara di dalam 
mimpinya itu. Atau cuma syaitan yang ingin mengganggunya? 
Datuk Temenggong Kadir pun mengejutkan isterinya dan 
menceritakan mimpinya itu.Isterinya menasihatkan Datuk 
Temenggong Kadir agar menurut apa yang disuruh oleh 
suara itu.


Keesokan harinya, Datuk Temenggong Kadir pergi 
ke hulu Sungai Tandang Sari.Dia pergi seorang diri 
dengan menaiki perahu koleknya,dan membawa pedang 
saktinya “Gempetar Alam”.Dalam perjalanannya itu, 
matanya meliar ke kiri dan kanan memerhatikan kalau-
kalau ada rumpun buluh betong seperti yang dikatakan 
di dalam mimpinya itu. Akhirnya, dia bertemu dengan 
pokok buluh betong itu.Hatinya berdebar-debar. 
Dengan tidak membuang masa lagi,Datuk Temenggong 
Kadir pun mengikat perahunya dan naik ke darat.Dia 
terus memotong pokok buluh itu.Sekali tetak sahaja 
pokok buluh itu terus putus.Benarlah, terdapat telur 
di dalam batang buluh betong itu.Datuk Temenggong 
Kadir mengambil telur itu dengan berhati-hati lalu 
dibawanya pulang.


Sampai di rumah, telur itu disimpan baik-baik.
Pada malam itu,apabila dia tidur,disimpannya telur itu 
di sebelah kiri kepalanya.Apabila menjelang tengah 
malam,tiba-tiba mereka terjaga kerana mendengar suara 
budak menangis.Datuk Temenggong Kadir mendapati telur 
tersebut telah pecah.Tahulah dia bahawa budak itu 
lahir dari telur itu. Walaupun mereka berasa sangat 
terkejut akan kejadian itu tetapi mereka gembira. 
Sekarang mereka telah mempunyai seorang anak perempuan.      
Sejak dari tengah malam itu, sampailah ke pagi,mereka 
tidak tidur kerana sibuk dengan anak yang baru menjelma 
itu.Mereka berdua sangat bersyukur kepada Allah kerana 
telah dikurniakan anak, walaupun bukan anak kandungan 
mereka.


Budak perempuan itu dinamakan Dayang Isah.Apabila
sudah dewasa,Dayang Isah amat cantik rupa parasnya 
dan tiada tolok bandingnya pada zaman itu.Ramai lelaki 
yang terpandang akan kecantikan rupa paras Dayang Isah 
terus jatuh cinta dan ingin memilikinya.Ramai pemuda di 
daerah Saribas berbunuh-bunuhan kerana berebut hendak 
memperisterikan Dayang Isah.Nampaknya kecantikan Dayang 
Isah dirasakan oleh penduduk Saribas sebagai satu bencana 
pula.Datuk Temenggong Kadir tidak juga berasa senang 
dengan keadaan itu. Dia ingin mengahwinkan Dayang Isah 
dengan seberapa segera.


Antara pemuda yang gagah perkasa dan disegani oleh
penduduk di Tandang Sari ialah Abang Bunut.Abang Bunut 
ialah pemuda harapan Datuk Temenggong Kadir.Dia seorang 
pemuda yang peramah,jujur,bersopan santun dan berbudi 
bahasa.Tingkah laku dan ketrampilan Abang Bunut telah 
memikat hati Dayang Isah.Oleh kerana Abang Bunut bekerja 
di istana Datuk Temenggong Kadir,maka dia sering bersua 
muka dengan Dayang Isah.Dari situ,lahirlah perasaan cinta      
yang sangat mendalam di antara mereka berdua.Mereka pun 
berkasih-kasihan dan seolah-olah tidak ada sesuatu pun 
yang dapat memutuskan hubungan antara mereka berdua.
Tambahan pula perhubungan mereka direstui oleh Datuk 
Temenggong Kadir dan isterinya.


Pada suatu malam Datuk Temenggong Kadir bermimpi.
Dalam mimpinya itu, dia telah mendengar suara yang 
sama di dalam mimpinya dulu.Kali ini suara itu berkata:
“Wahai Temenggong Kadir! Dengarlah kata-kataku ini. 
Dayang Isah telah dewasa dan telah menjadi rebutan 
ramai pula.Sesiapa yang hendak memperisterikan Dayang 
Isah mestilah menyediakan sepuluh kati emas sebagai mas 
kahwin”


Datuk Temenggong Kadir pun terjaga dari tidurnya.
Dia berasa resah dan susah hati mengingatkan kata-kata 
dari suara di dalam mimpinya itu.Dia terkenangkan Abang 
Bunut yang diketahuinya sangat menyintai Dayang Isah,
begitu juga Dayang Isah.Walaupun Datuk Temenggong Kadir 
sangat berkenan dengan Abang Bunut untuk menjadi 
menantunya tetapi Abang Bunut seorang pemuda yang miskin, 
dan sudah pasti tidak dapat menyediakan mas kahwin 
sebanyak sepuluh kati emas itu.


Keesokan harinya,Datuk Temenggong Kadir memberitahu 
isterinya akan mimpinya itu.Mereka berdua 
sangat berasa sedih.Mereka terpaksa patuh dengan 
arahan suara itu kerana mereka yakin bahawa mimpi 
itu benar.Mereka mengambil keputusan untuk 
memberitahu anaknya Dayang Isah dan juga Abang Bunut.
Kedua-duanya berasa sangat kecewa setelah diberitahu.
Abang Bunut tahu dirinya tidak terdaya untuk menyediakan 
mas kahwin sebanyak sepuluh kati emas walaupun berusaha 
bertahun-tahun lamanya. Maka tingggallah mereka berkasih-
kasihan begitu saja,makan hati berulam jantung.


Diriwayatkan,ada seorang saudagar Bugis dari 
Palembang,bernama Nakhoda Khar,hendak pergi berniaga 
ke negara Brunei.Dalam pelayarannya dari Palembang 
ke Brunei,dia dan anak-anak buahnya singgah di muara 
Sungai Saribas.Pada masa dia singgah itulah dia mendengar 
cerita dari penduduk di situ tentang kecantikan Dayang 
Isah di Tandang Sari,maka timbullah niat di hatinya 
memperisterikan Dayang Isah.Nakhoda Khar memang sanggup 
memenuhi syarat menyediakan mas kahwin sebanyak sepuluh 
kati emas kerana dia seorang yang kaya.


Dengan tidak membuang masa lagi, Nakhoda Khar
pun pergilah meminang Dayang Isah.Pada mulanya Datuk 
Temenggong Kadir keberatan untuk menerima pinangan itu 
kerana dia tidak mahu orang luar berkahwin dengan 
anaknya.Tetapi apabila dia melihat Nakhoda Khar sanggup 
memberi sepuluh kati emas sebagai mas kahwin,maka 
pinangan itu pun diterimanya.Datuk Temenggong terpaksa
patuh dengan arahan suara yang didengarnya di dalam 
mimpinya tempoh hari.


Selang beberapa hari bertunang,maka upacara
perkahwinanpun berlangsung.Dayang Isah sedikit pun 
tidak berasa gembira.Dia menangis kerana masih kasihkan 
Abang Bunut.Begitu juga dengan Abang Bunut,tujuh hari 
tujuh malam berendamkan air mata.


Setelah genap sebulan menjadi suami isteri,
Nakhoda Khar pun meminta izin daripada Datuk Temenggong 
Kadir untuk berniaga di Brunei.Di hari baik bulan 
baik Nakhoda Khar pun belayarlah menuju ke Brunei 
bersama anak-anak buahnya. Apabila sampai di Pulau Burung, 
barulah Nakhoda Khar teringat yang kerisnya tertinggal,
maka ditinggalkan kapalnya di situ sahaja dan berpatah 
balik dengan mengayuh sampan seorang diri.Sesampainya ke 
muara Sungai Saribas, hari sudah pun malam.


Dalam perjalanan menuju ke istana, Nakhoda Khar
terasa sesuatu yang tidak menyenangkan hatinya lantas 
dia mempercepatkan langkahnya.Sesampai di istana, Nakhoda 
Khar terdengar suara isterinya,Dayang Isah sedang 
bergurau senda dengan Abang Bunut.Maka timbullah rasa 
marah dan cemburu yang tidak terkira di hati Nakhoda 
Khar,lalu dibacanya jampi ilmu tidur.Selepas jampi 
itu dibaca maka tidurlah seisi istana.Lalu Nakhoda 
Khar mengambil kerisnya lalu menikam Abang Bunut dalam 
tidurnya,matilah Abang Bunut. Selepas itu, Nakhoda 
Khar pun keluar meninggalkan istana dan menuju ke 
sampannya,dan terus berkayuh ke arah kapalnya yang 
sedang berlabuh di Pulau Burung.


Pada keesokan harinya,Dayang Isah dan seisi
istana terkejut melihat kematian Abang Bunut.
Dayang Isah sedar telah banyak nyawa yang 
terkorban hanya kerana kecantikannya.Dia takut 
andai dia hidup lebih lama lagi maka akan bertambah 
ramai lagi yang akan terkorban lalu Dayang Isah 
mengambil keputusan untuk membunuh diri.Dia pun 
mengambil keris lalu menikam dirinya beberapa kali      
tetapi tidak lut.Setelah gagal berbuat demikian maka 
Dayang Isah mengambil tujuh helai rambutnya yang panjang 
mengurai lalu diikatnya di leher hingga mati.


Setelah melihatkan perkara itu,maka Temenggong Kadir 
berasa amat marah.Dia tahu kejadian itu 
semuanya angkara Nakhoda Khar lalu dia pun menaiki 
perahu koleknya bersama Lancang Mayang untuk mengejar 
Nakhoda Khar.Perahu koleknya terlalu laju seperti 
naga lapar,pengayuhnya selebar tiga hasta. Akhirnya 
sampailah dia ke kapal Nakhoda Khar.Dia terus menghunus 
pedang saktinya yang bernama Gempetar Alam,lalu 
dipotongnya kapal Nakhoda Khar lalu terputus dua.      
Dan Nakhoda Khar serta semua anak buahnya mati lemas di 
Pulau Burung.


Selepas dari itu Datuk Temenggong Kadir pun baliklah 
untuk menguruskan mayat anaknya, Dayang Isah yang 
dimakamkan berhampiran dengan makam Abang Bunut.    
Menurut orang yang empunya cerita ini,makam Dayang Isah 
itu masih terdapat hingga sekarang ini di Pusa, 
Saribas dalam Bahagian Kedua Sarawak. 
   

No comments:

Post a Comment