Tasik Dua Fenomena di Taman Negara Loagan Bunut
Menyaksikan bulan penuh di langit membalikkan cahaya dan bayang-bayangnya di tasik yang tenang adalah saat paling ditunggu-tunggu oleh pelawat jika berkunjung ke Taman Negara Loagan Bunut (TNLB) di Sarawak. Begitu juga suasana awal pagi waktu terbitnya matahari yang diceriakan dengan suara penghuni hutan belantara. Hati pasti teruja tatkala menyusuri tasik menggunakan bot sambil melihat burung-burung berterbangan di langit biru.
Terletak kira-kira 120 kilometer di tenggara bandar raya Miri Sarawak, Loagan Bunut yang mempunyai keluasan 6.5 kilometer persegi merupakan satu-satunya tasik air tawar semula jadi yang ditemui di negeri Sarawak. Diwartakan pada 1990, TNLB meliputi kawasan seluas 10,736 hektar antara Sungai Tinjar dan Sungai Teru yang akan bertemu dengan kawasan tadahan Sungai Baram di bahagian hulunya. Loagan Bunut diberi gelaran oleh penduduk asal suku Berawan bermaksud ‘tasik’ dan ‘bekal makanan’. Apa yang menarik, tasik ini terletak di tengah-tengah kawasan taman negara itu.
Kira-kira 94 peratus daripada kawasan taman negara adalah paya termasuk tasik dan hanya 6 peratus sahaja kawasanya iaitu di bahagian selatan adalah banjaran bukit-bukau. Namun tidak ramai yang mengetahui, tasik yang berusia 10,000 tahun ini akan kering kontang menjadi padang jarak padang tekukur setiap kali kedatangan musim kemarau. Fenomena luar biasa ini boleh disaksikan antara bulan Mac hingga September setiap tahun. Adakalanya tasik ini kering kontang beberapa kali dalam setempoh setahun. Pada paras biasa tasik ini mempunyai kedalaman 4 hingga 5 meter namun parasnya boleh mencecah lebih tinggi pada musim hujan.
Sebenarnya, tasik ini diairi oleh Sungai Bunut iaitu anak sungai yang berpunca dari Sungai Teru yang mengalir ke Batang Tinjar, Baram. Justeru itu naik turun paras air di tasik ini dipengaruhi besar oleh paras air sungai di Batang Tinjar. Apabila paras air sungai ini turun maka paras air tasik di Loagan Bunut juga akan turun sehingga kering. Malah penduduk tempatan boleh menggunakan motosikal ataupun kereta di tengah-tengah tasik yang telah kering.
Uniknya semasa ‘pengeringan’ ini, pelbagai spesis ikan sungai antaranya biawan, tapah, betutu, mengalan dan mata merah yang hidup di tasik berkenaan akan berhijrah dan berkumpul di Sungai Teru sebelum menuju ke Sungai Batang Tinjar.
Kemarau berakhir, musim tengkujuh pula menyusul menyebabkan tasik itu sekali lagi dilimpahi air dari Sungai Bunut dan Batang Tinjar. Pada masa inilah ikan-ikan yang berhijrah sebelum ini berenang masuk ke dalam Loagan Bunut.
Menyedari keunikannya dan pentingnya tasik ini terhadap ekosistem, pada tahun 2001, TNLB telah dipilih sebagai tapak Projek Pemuliharaan dan Penggunaan Lestari Hutan Paya Gambut Tropika dan Ekosistem Tanah Lembap yang dibiayai oleh Kerajaan Malaysia dan Projek Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP)/Kemudahan Alam Sekitar Global (GEF).
Di bawah projek ini, TNLB dijadikan salah satu tapak demontrasi di mana penyelidikan flora dan fauna secara terperinci dilaksanakan untuk pengurusan hutan hutan paya gambut dan ekosistem tanah lembap secara mapan di negara ini. Pada masa yang sama membantu kerajaan memelihara keindahan alam serta ekosistem di TNLB sebagai pusat pelancongan eko.
Sesuai dengan cirinya sebagai hutan paya gambut, TNLB menyajikan keindahan landskap dan panorama hijau yang mengasyikkan dan memang ideal untuk pengunjung yang mahu bersantai sambil menambah pengetahuan. Ia begitu kaya dengan kepelbagaian bio seperti 500 spesies tumbuhan berbunga termasuk orkid dan herba, 190 spesies burung, 70 jenis ikan, 20 spesies katak dan 30 spesies reptilia. Tasik ini juga dihuni oleh buaya spesies false gharial atau jejulong.
Bagi pengunjung yang gemarkan aktiviti lasak, mereka berpeluang meredah hutan seakan kembali ke alam semula jadi melihat pelbagai keajaiban alam ciptaan Tuhan yang kaya sambil menghargai khazanah alam yang tidak ternilai. Jika bernasib baik, para pengunjung berpeluang untuk melihat berbagai spesies burung liar seperti kelawar, kenyalang, bangau, raja udang, binatang liar yang terlindung seperti beberapa spesis monyet, musang dan habitat babi hutan.
Selain itu, TNLB merupakan syurga bagi kaki pancing dan peminat burung. Sepanjang tahun 2006, seramai 1,240 pelawat termasuk pelancong asing datang ke sini dan jumlah ini dijangka meningkat berikutan Tahun Melawat Malaysia (TMM) tahun ini.
Oleh kerana kawasan TNLB luas, pengunjung perlu bijak membahagikan masa untuk melawat sekitar tasik dan seeloknya dapatkan panduan lawatan atau juru pandu yang disediakan pihak pengurusan taman. Selain mengelilingi tasik, pengurusan menyediakan lima pilihan laluan pendidikan iaitu Laluan Tapang (260m), Laluan Belian (720m), Bukit Paron dan Laluan Hidupan Liar (2km) dan Laluan Hidrologi (2.5km) melalui hutan paya gambut.
Selain itu, pengunjung boleh menyusuri tasik menggunakan bot sambil menghirup udara segar dan menikmati keindahan alam sekitar. Penjelajahan tasik ini bermula di jeti taman sebelum mengelilingi tasik seterusnya memasuki Sungai Bunut dan Sungai Bunan.
Bayaran bergantung kepada pakej yang digunakan. Selain keindahan alam semula jadi di kawasan tasik, Loagan Bunut turut menyediakan nilai-nilai kebudayaan yang boleh menarik ramai pelawat.
Antaranya kawasan perkuburan tradisional masyarakat kaum Berawan di Pulau Tengah iaitu sebuah pulau kecil yang terletak di tengah-tengah tasik tersebut. Kawasan perkuburan tua ini masih digunakan oleh penduduk kampung sehingga ke hari ini. Selain itu pelawat pasti teruja dengan cara perikanan tradisi yang hanya diamalkan oleh kaum Berawan iaitu `selambau’.
Selambau ialah satu cara menangkap ikan menggunakan pukat sama ada ia dilakukan dari dari atas rumah yang berada di atas air ataupun di atas perahu. Pengunjung yang ingin menyaksikan kaedah menangkap ikan ini digalakan datang pada bulan April hingga Ogos. Pengunjung juga boleh mendapatkan pengetahuan mengenai pelbagai spesies ikan sungai eksotik disamping membeli dengan harga berpatutan. Selain itu rumah-rumah panjang kaum Berawan, Iban dan Punan yang terletak di kawasan sekitar tasik itu turut menjanjikan tarikannya tersendiri.
Untuk pengunjung yang merancang tinggal di sini beberapa hari, pengurusan taman menyediakan sebuah hostel mengandungi empat bilik, tujuh katil bertingkat setiap bilik, tempat berkhemah dan kantin. Pengunjung boleh memilih untuk menginap di chalet yang mempunyai tiga katil setiap bilik dan dilengkapi penghawa dingin. Ataupun, pengunjung boleh bermalam di chalet yang diusahakan oleh kaum Berawan seperti Mutiara Bunut, Kumbang Leng Chalet dan Adam Lian Chalet.
Selain itu kemudahan rumah bot, rumah penyimpanan, loji perawatan air bagi kemudahan penginap, rumah janakuasa elektrik, pondok-pondok rehat, jeti, tempat pejalan kaki dan kawasan letak kereta yang luas serta kemudahan jalan raya berturap dari simpang masuk hingga ke ibu pejabat taman negara. TNLB turut giat mengadakan kempen pendidikan alam sekitar dengan kerjasama sekolah, institusi pendidikan tinggi, sektor swasta, kerajaan dan badan bukan kerajaan.
Lokasi TNLB begitu strategik dan dapat dihubungi dengan mudah menggunakan jalan raya. Pengunjung boleh sampai di sana menggunakan kenderaan pacuan empat roda yang mana perjalanan mengambil masa selama dua jam setengah bergantung kepada keadaan cuaca.
Bagi yang menggunakan pengangkutan awam seperti bas dan teksi, perkhidmatan ini hanya sampai di Pasar Lapok, 10 km dari taman negara. Pengunjung perlu mencari pengangkutan sewa sebelum meneruskan perjalanan. Pilihan lain, pengunjung boleh menghubungi pengurusan taman untuk mengambil mereka di Pasar Lapok. Perjalanan dari Lapok ke TNLB menyeberangi jambatan Sungai Tinjar mengambil masa 15 hingga 20 minit.
Untuk pengalaman yang lebih mencabar, pengunjung boleh menggunakan bot ekpress dari Kuala Baram ke Marudi dan bermalam semalaman sebelum meneruskan perjalanan ke Lapok pada keesokan pagi. Perjalanan dari Marudi ke Lapok mengambil masa selama 4 jam melalui Sungai Baram dan Sungai Tinjar, namun pasti berbaloi kerana pelbagai pengalaman menarik dapat ditimba selain menghirup udara segar di sepanjang sungai tersebut.
Awak pernah pergi ke sini? Loagan bunut
ReplyDelete